Internet Di Malaysia
Berikutan keghairahan para pengguna internet untuk mencuba servis WiMAX yang dikhabarkan lebih laju dan stabil daripada servis yang lain, TMnet masih tidak melakukan sebarang langkah untuk bertanding malah tetap memberikan tahap perkhidmatan yang sama. Sudah banyak rasa tidak puas hati dari para pengguna Streamyx terutamanya terhadap kelajuan untuk melayar internet atau untuk muat turun. Pengguna yang melanggan servis Streamyx 1Mbps sudah tentu mengetahui bahawa kelajuan muat turun (download speed) biasa yang diperolehi hanya 500kbps iaitu separuh daripada kemampuan maksimum yang dinyatakan. Sebilangan pengguna mungkin bernasib baik untuk mendapat kelajuan muat turun sehingga 800kbps pada waktu-waktu tertentu namun begitu kelajuan memuat naik maklumat (upload speed) pula menjadi rendah dan menyukarkan pelayaran internet.
Celcom dan Maxis menawarkan talian jalur lebar tanpa wayar namun servis-servis seperti ini hanya sesuai sekiranya anda ingin mempunyai talian internet di mana-mana sahaja. Kelajuan yang ditawarkan tidak selaju talian tetap Streamyx atau Jaring kerana hanya menggunakan 3G. Walaupun servis jalur lebar tanpa wayar seperti ini mempunyai kebolehan mudah alih yang tiada tandingan, kelajuan untuk servis yang diberikan bergantung kepada faktor geografi sesebuah tempat. Tidak semua tempat mempunyai kemampuan 3G oleh itu pengguna terpaksa menggunakan GPRS yang berkelajuan rendah tetapi masih dengan kadar bayaran yang sama.
Walaupun sudah banyak pengendali servis intenet di negara ini, persaingan untuk sesuatu servis masih kurang dan menyebabkan kualiti servis internet masih lagi di tahap yang kurang memuaskan. Apa yang ingin dilihat ialah kadar persaingan yang sangat kompetitif seperti yang berlaku di antara pengendali servis telefon mudah alih yang sentiasa bersaing memberikan perkhidmatan yang terbaik dengan kadar harga yang menarik. Para pengguna sendiri perlu lebih rajin menyuarakan pendapat dan rasa tidak puas hati untuk mendesak pihak yang bertanggungjawab supaya bertindak dan memperbaiki perkhidmatan mereka.
Read more...